Sarawak menguasai acara renang Para Sukma Perak 2018 apabila memenangi tujuh daripada 10 acara akhir pada hari pertama di Pusat Akuatik Tuanku Zara, Ipoh, semalam.

Atlet negeri Bumi Kenyalang itu membuktikan kehebatan mereka apabila mencipta empat daripada enam rekod baru kejohanan, iaitu dalam acara 100 meter gaya bebas lelaki S4-S5, 100m gaya bebas wanita S9-S10, 100m gaya bebas lelaki S12 dan 400m gaya bebas lelaki S9.

Dua lagi rekod baru dicipta oleh peserta Sabah dalam acara 100m gaya bebas lelaki S9 dan 100m gaya bebas wanita S12-13.

Dato Anak Lakok memulakan penawanan kolam renang baru itu dengan mencipta rekod baru scara 400m gaya bebas lelaki S9 apabila mencatat 6:17.66s untuk memadam catatan 6:40.54s pada 2010.

Peserta Sarawak turut mengungguli acara 100m gaya bebas S4-S5 menerusi Muhd Nur Syaiful Zulkafli yang mencatat 1:22.33s untuk memadam catatan 1:24.45s yang dibuat empat tahun lalu.

Nabila Nuramisya Shamsuri merakam 1:18.93s ketika memperbaiki rekod acara 100m gaya bebas wanita S9-S10.

Dalam masa sama, Julius Anak Jeranding memperbaharui rekod acara 100m gaya bebas lelaki S12 dengan kepantasan 1:09.58s untuk mengatasi masa lama, 1:15.48s (2010).

Abdul Halim dari Sabah menghalang penguasaan Sarawak apabila memenangi acara 100m gaya bebas lelaki S9 dengan rekod baru 1:08.56 untuk mengatasi masa lama, 1:15.69.

Sementara itu, Mailin Mopinpin juga mencipta rekod baru acara 100m gaya bebas wanita S12-13 dengan kepantasan 2:20.07s untuk mengatasi catatan enam tahun lalu, 2:24.38s.