SAMOC ditunda

Oleh Willie Jude 3 April 2020 18
SAMOC ditunda
Kejohanan Olahraga Master Terbuka Sabah (SAMOC) yang dijadualkan pada Julai depan ditunda ke satu tarikh baharu yang akan diumumkan kemudian.

"SAMOC tahun ini sepatutnya berlangsung di Stadium Likas pada 4 hingga 5 Julai tetapi seperti yang kita maklum, sedangkan Sukan Olimpik dan beberapa kejohanan antarabangsa lain juga telah ditunda atau dibatalkan ekoran pandemik wabak Covid-19, jadi kami tidak ada pilihan selain turut mengambil tindakan sama.

"Kami belum lagi memutuskan tarikh baru tapi kami akan cuba jadualkannya pada Oktober tetapi ia juga bergantung kepada situasi pada masa itu nanti.

"Pengumuman penundaan SAMOC ini amat dikesali dan kami berharap semua yang terlibat memahami situasi yang dihadapi ini.

"Saya juga meminta agar semua atlet terus berlatih bagi pastikan mereka sentiasa di tahap terbaik dan bersedia apabila kejohanan ini akan dilangsungkan," kata Presiden Persatuan Olahraga Master Sabah (SAMAS), David William.

Beliau berkata, pada awalnya mereka menjangkakan SAMOC akan disertai lebih ramai berbanding 700 peserta yang diterima tahun lalu.

"Respon kejohanan pada tahun ini amat positif dan Filipina juga telah membayangkan akan menghantar kontinjen lebih besar tahun ini selepas acara lompat bergalah diperkenalkan tahun lalu.

"Indonesia dan Singapura juga telah menyatakan minat untuk mengambil bahagian dan dengan bertambahnya kelab veteran di negeri ini, kami sebenarnya menjangkakan penyertaan lebih ramai tahun ini," katanya.

Tentang Penulis

Willie Jude

Komen