Presiden Persekutuan Luncur Ais Malaysia, Irene Cheow, mahu melupakan kegagalan dalam Sukan SEA Filipina dan bertekad memberi tumpuan untuk memburu kejayaan di pentas Sukan Olimpik Remaja Musim Sejuk bulan depan.

Biarpun gagal menepati sasaran empat pingat emas yang ditetapkan Majlis Sukan Negara (MSN), Irene tetap bangga dengan pencapaian dua emas, satu perak dan dua gangsa di Filipina.

Dua wakil negara, Dione Tan dan Sean Yeo, akan memberi cabaran dalam Sukan Olimpik Remaja yang akan berlangsung di Switzerland bermula 9 Januari ini.

"Bakat memang ada, kami milikinya. Malah, dua atlet muda kami bakal beraksi dalam Sukan Olimpik Remaja Musim Sejuk bulan depan. Ia sesuatu yang membanggakan kerana sebelum ini hanya seorang tetapi kali ini kami mempunyai dua wakil," katanya.

"Kami boleh lihat bahawa kerjasama dengan MSN dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dapat membantu dalam memacu prestasi yang baik. Kini tiba masa untuk kami terus mara. Jika bantuan kewangan lebih baik diterima, kami mampu mara lebih jauh."

Sementara itu, Irene berpuas hati dengan pencapaian dua atlet muda itu di Filipina yang menyaksikan Dione meraih gangsa dalam acara 1,000 meter wanita.

Tambahnya, skuad luncur ais semakin berada di landasan tepat selepas berjaya menambah wakil ke temasya berprestij itu bagi musim 2020.

"Kadangkala ia bukan sahaja melibatkan prestasi anda tetapi ia turut bergantung kepada persembahan lawan. Ia juga tentang jumlah wang yang boleh anda sumbangkan ke dalam sukan itu.

"Kami menerima bantuan kewangan yang sangat rendah dan ia hadir daripada keluarga atlet untuk berlatih di luar negara. Saya sangat teruja dan bangga dengan pasukan ini."