Skuad terjun negara tidak akan beraksi dalam Kejohanan Grand Prix (GP) Singapura, bulan depan, kerana jadual yang agak padat dan sebaliknya akan memberikan fokus kepada saingan GP Gold Coast, Australia.

Pengesahan itu dibuat ketua jurulatih, Yang Zhuliang, yang enggan anak buahnya berdepan jadual kejohanan terlalu rapat dengan GP Singapura yang akan berlangsung dari 2 hingga 5 November ini.

Tetapi, mereka tetap akan ke Gold Coast untuk berlatih di sana terlebih dahulu sebelum bersedia menjelang saingan dari 9 hingga 12 November itu.

Jelas Zhuliang, kejohanan di Gold Coast itu dilihat lebih baik untuk anak buahnya kerana turut menjadi sebahagian daripada persiapan Sukan Komanwel yang akan berlangsung di venue sama pada April 2018.

"Penerjun-penerjun negara akan beraksi dalam GP Malaysia dan GP Gold Coast. Dengan jadual yang begitu padat, kami tidak akan beraksi di Singapura. Saingan di Gold Coast akan memberikan mereka situasi sebenar untuk menghadapi Sukan Komanwel 2018.

"Jadi, kami harus menggunakan kesempatan ini untuk berlatih di sana. Ia sangat besar dan perlu mengutip pengalaman di sana," katanya.

Tiada tekanan yang menghimpit barisan penerjun negara dalam persediaan menghadapi GP Malaysia, Khamis ini.

Zhuliang juga tidak menetapkan sebarang sasaran pingat dan hanya fokus kepada aksi masing-masing kerana menganggap saingan GP Gold Coast lebih utama buat mereka.

"Wakil dari China akan turut beraksi, cuma belum pasti dalam kejohanan yang mana satu. Saingan pasti sengit untuk mendapatkan pingat emas atau perak," katanya.