Tuan rumah, Sandakan, terpaksa akur gagal ke separuh akhir acara bola sepak Sukan Sabah (SAGA) 2017 selepas tewas menerusi perbezaan jaringan dengan Tuaran.

Dua pasukan itu masing-masing mengumpul empat mata dalam kumpulan B, namun Tuaran lebih layak selepas menjaringkan lima gol dan bolos empat kali manakala Sandakan menjaringkan empat gol dan bolos tiga kali.

Satu lagi pasukan, iaitu Kinabatangan, layak lebih awal ke separuh akhir sebagai juara kumpulan walaupun tewas 0-2 kepada Sandakan dalam aksi terakhir petang tadi.

Lawan Kinabatangan dalam separuh akhir ialah Nabawan yang berada di tangga kedua Kumpulan B manakala Tuaran bakal berentap dengan Kota Kinabalu yang juga juara Kumpulan A.

Dalam pada itu, bagi acara bola sepak wanita, Penampang layak ke separuh akhir sebagai juara Kumpulan B selepas mengumpul mata maksimum daripada tiga perlawanan.

Tongod pula, walaupun kecundang 0-2 kepada Penampang dalam aksi terakhir peringkat kumpulan, turut layak selepas mengutip enam mata, mengatasi dua pasukan lain, Sandakan dan Sipitang dalam kumpulan sama.

Bagi Kumpulan A pula, juara bertahan, Tenom, layak ke separuh akhir sebagai juara kumpulan dan bakal bersaing dengan Tongod.

Bagaimanapun, lawan Penampang dalam separuh akhir akan ditentukan esok selepas Kota Marudu dan Tuaran berkongsi tangga kedua Kumpulan A.

Dua pasukan itu masing-masing mengutip jumlah mata, jaringan serta bolos yang sama dan difahamkan satu mesyuarat akan diadakan petang esok bagi membuat keputusan pasukan mana yang akan layak.