Pelari tempatan, Saffrey Sumping, dan peserta Filipina, Sandi Menchi Catlona Abahan, akan kembali mempertahankan kejuaraan dalam Kejohanan Climbathon Antarabangsa Gunung Kinabalu, 15 Oktober ini.

Saffrey dan Sandi masing-masing muncul juara bagi kategori lelaki dan wanita elit dalam kejohanan tahun lalu dan kali ini mereka dijangka akan diberi saingan sengit peserta lain, termasuk dari luar negara.

Kejohanan edisi ke-30 tahun itu menerima penyertaan seramai 129 pelari.

Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Pang Yuk Ming, berkata kejohanan kali ini turut disertai seramai 41 pelari luar negara.

"Antara pelari yang menyertai Climbathon Antarabangsa Gunung Kinabalu kali ini termasuk dari Australia, Bangladesh, Brunei, Costa Rica, Republik Czech dan Denmark.

"Selain itu, mereka juga ada dari Perancis, Jerman, Great Britain, Hong Kong, Jepun, Kenya, Filipina, Singapura, Afrika Selatan, Sepanyol, Thailand dan Amerika Syarikat.

"Majoriti pelari luar negara yang menyertai kejohanan kali ini juga adalah muka baharu. Kami hanya membenarkan peserta yang layak, termasuk mereka yang berjaya menghabiskan larian pada had masa ditetapkan dalam kejohanan lalu," katanya dalam sidang media di Pejabat Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, hari ini.

Pang berkata laluan larian untuk edisi kali ini turut dikekalkan seperti tahun lalu dengan kesemua peserta akan memulakan perlumbaan di Tapak Warisan Dunia UNESCO.

"Peserta akan berlari sehingga ke puncak Gunung Kinabalu setinggi 4,095.2m sebelum turun semula ke Tapak Warisan Dunia UNESCO bagi menamatkan perlumbaan.

"Sehubungan itu, saya juga ingin menjemput orang ramai untuk bersama-sama memeriahkan kejohanan ini yang turut dianggap sebagai perlumbaan gunung paling mencabar di dunia," tambahnya.