RTT: Atlet lompat tinggi bingung diabaikan 

Oleh Shaiful Shamsudin 19 Jun 2020 62
RTT: Atlet lompat tinggi bingung diabaikan 
Atlet lompat tinggi negara, Nauraj Singh Randhawa, terkilan kerana dia dan rakan sepasukan, Lee Hup Wei, disisihkan daripada program Road to Tokyo (RTT) sungguhpun berpotensi layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2021. 

Apa yang menjadi persoalan, beberapa atlet daripada sukan yang belum layak ke temasya musim panas itu tetap disenaraikan ke dalam RTT, ikuti perkongsiannya bersama wakil Nadi Arena, Adam Zamri.

Syarat kelayakan yang ditetapkan oleh badan olahraga dunia, Persekutuan Olahraga Antarabangsa (IAAF), adalah 2.33 meter ataupun berada dalam kelompok 32 ranking dunia.

Ia mencetuskan persoalan buat Nauraj yang mempunyai catatan peribadi terbaik, 2.30m, yang dirakamnya di Terbuka Singapura pada 2017 sementara catatan terbaik Hup Wei -- di kedudukan ke-23 dunia --  adalah 2.29m.

Situasi itu ternyata membingungkannya yang berhasrat memburu penampilan kedua dalam temasya Tokyo 2021. 

"Pada mulanya, hanya atlet yang telah layak difahamkan terpilih (untuk mengikuti RTT).

"Setahu saya, hanya enam orang sahaja yang sudah mengesahkan kelayakan tetapi kemudian saya mendapati senarai kedua RTT melibatkan atlet yang berpotensi untuk layak (ke Sukan Olimpik) termasuk renang dan karate-do. 

"Jadi, apakah kriteria sebenarnya (untuk terpilih dalam RTT), saya berasakan jurangnya kecil. 

"Atlet seperti saya dan Hup Wei juga berpotensi seperti mereka," katanya hari ini. 

Lebih memeritkan, mereka hanya mampu berputih mata sahaja ketika ini apabila menyaksikan atlet atlet lain dalam RTT sudah memulakan latihan di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil sejak minggu lalu.

"Ini sesuatu yang tidak adil. 

"Kami sedang menunggu panggilan untuk menjalani latihan."

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen