Atlet taekwondo lelaki negara, Rozaimi Rozali, berharap kecederaan lutut yang menimpanya dalam Sukan SEA 2015 tidak lagi berulang ketika tinggal lapan bulan sahaja lagi bagi menghadapi Sukan SEA Kuala Lumpur.

Pencapaian terbaik Rozaimi yang beraksi dalam kategori bawah 68 kilogram setakat ini hanyalah memenangi pingat gangsa dalam Sukan SEA 2013 di Nay Pyi Taw, Myanmar.

Kekecewaan tidak dapat beraksi tahun lalu masih dirasai Rozaimi yang diketepikan pada saat-saat akhir atas faktor kecederaan.

Justeru, dia berharap segalanya berjalan lancar, terutama kerana mahu bersama rakan-rakannya memenuhi sasaran empat pingat emas yang ditetapkan Persatuan Taekwondo Malaysia (MTA).

“Agak tertekan dengan sasaran itu tetapi kami akan cuba yang terbaik dalam Sukan SEA nanti. Saya percaya kami mampu melakukannya dengan kelebihan penyokong pasukan tuan rumah,” kata Rozaimi.

Atlet termuda taekwondo negara, Nurul Farah Alisa, yang baru berusia 17 tahun, pula berjanji tidak akan mempersiakan peluang diberikan.

Bakal bertanding dalam kategori bawah 57 kilogram, gadis yang berasal dari Ampang, Selangor ini berharap persiapan selama enam bulan di Korea Selatan mampu dimanfaatkan sepenuhnya.

“Satu cabaran buat saya kerana sebagai atlet termuda dan penampilan sulung dalam Sukan SEA, saya berharap pengalaman rakan sepasukan yang lain mampu membantu saya beraksi dengan cemerlang nanti,” jelas Farah.