Road to Tokyo: Pergi untuk cabar medal -- Norza

Oleh Shaiful Shamsudin 20 Februari 2020 36
Road to Tokyo: Pergi untuk cabar medal -- Norza
Atlet di bawah Program Road to Tokyo 2020 sedar tiada istilah penumpang dalam kontinjen negara termasuk skuad badminton yang disasarkan akan membentuk kelompok terbesar skuad negara ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Jawatankuasa Pemandu Program Road to Tokyo 2020 menyasarkan 12 pemain daripada badminton untuk layak ke temasya itu Julai depan. 

Malaysia berpeluang memiliki dua wakil beregu lelaki dan campuran berdasarkan kedudukan kelayakan ke temasya di Jepun itu.

Dalam edisi Rio 2016, hanya satu wakil daripada setiap lima kategori telah mewakili Malaysia dengan pulangan tiga pingat perak.

Di bawah perbelanjaan bajet program itu, skuad badminton negara merupakan penerima kedua terbesar dengan jumlah hampir RM6.5 juta.

"Saya tidak mahu pemain menyertainya sebagai penumpang, saya mahu mereka menjadi pencabar medal yang berpotensi. 

"Sebab itu kami mengemukakan cadangan supaya apabila tibanya masa Sukan Olimpik, kami akan mempunyai peluang yang lebih besar, sama seperti sukan-sukan lain.

"Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, sudah berjanji akan memberi kerjasama semampu yang boleh.

"Kita tidak seharusnya meletakkan tekanan besar ke atas atlet, ia bukan bergantung kepada usaha dari Januari hingga Ogos, usaha ini sebaliknya telah dilakukan sejak beberapa tahun lalu," kata Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) merangkap Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Norza Zakaria, kepada wartawan Nadi Arena, Shahrazad Sani, di Pejabat Menteri Belia dan Sukan (KBS), Putrajaya, hari ini.
 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen