Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Low Beng Choo, menyifatkan pembentangan peruntukan belanjawan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sebanyak RM500 juta bagi persediaan Sukan Sea dan Sukan Para Asean 2017 sebagai satu jumlah yang munasabah.

Jika peruntukan itu diluluskan, katanya, ia mampu merangkumi kos persiapan atlet untuk menghadapi temasya dwitahunan itu di laman sendiri.

"Kami juga ada cabaran kerana bukan semua venue berada di Kuala Lumpur, ada di Putrajaya, Nilai, Langkawi dan Terengganu.

"Kami perlu menumpukan kepada aspek teknikal dan logistik, termasuk mendapatkan lebih pegawai dan juga persiapan venue. Jadi, angka itu agak munasabah," katanya.

Beng Choo turut berharap pembentangan Bajet 2017 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Jumaat ini akan mempertimbangkan insentif kepada sektor korporat, yang menaja mana-mana persatuan sukan agar tidak dikenakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Beng Choo percaya pendekatan tidak mengenakan bayaran GST mampu menarik lebih banyak tajaan sektor korporat dalam usaha membawa sukan negara ke aras lebih tinggi.

"Pihak korporat perlu diiktiraf. Saya fikir sumbangan daripada pihak korporat untuk membantu pembangunan adalah paling mustahak."

Peruntukan RM500 juta yang dicadangkan KBS bakal digunakan untuk penganjuran Sukan Sea dan Sukan Para Asean tahun depan.

Dana tambahan lain pula diperlukan untuk Program Podium yang sedang dilaksanakan.