Peruntukan sebanyak RM1 bilion dalam Bajet 2018 akan dipecahkan kepada setiap jenis sukan selepas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, melakukan perbincangan bersama Kementerian Kewangan dalam masa terdekat.

Khairy berkata peruntukan itu bukan hanya tertumpu kepada program pembangunan bola sepak seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dalam pembentangan Bajet 2018, Jumaat lalu.

Jelasnya, ia melibatkan semua jenis sukan yang melakukan program pembangunan khususnya, dengan perbincangan terperinci akan dilakukan bersama Kementerian Kewangan bagi mendapatkan pecahan peruntukan itu.

Beliau juga akan berjumpa dengan Majlis Sukan Negara (MSN), Institut Sukan Negara (ISN) dan persatuan sukan kebangsaan sebelum menentukan sukan yang bakal mendapat agihan daripada peruntukan berkenaan.

"Jangan risau apa yang disebut (Jumaat lalu) ia hanya untuk pembangunan bola sepak negara. Ada (persatuan) sukan kata 'tak sebut ke sukan kita'.

"Kami akan minta penjelasan daripada Kementerian Kewangan berkenaan dengan butiran pecahan bajet tersebut," katanya.

Tambah Khairy, peruntukan besar yang diterima itu diharap mampu menyuntik semangat kontinjen negara bagi mengekalkan momentum prestasi dalam Sukan SEA 2017 dan Sukan Olimpik Rio 2016.

"Kita telah membina satu momentum yang baik -- Sukan Olimpik dalam sejarah kita, Sukan SEA yang terbaik dalam sejarah kita.

"Perdana Menteri kata beliau beri peruntukan besar ini sebab mahu melihat momentum itu dapat dikekalkan. Jangan kita hebat dalam Sukan SEA apabila kita menjadi tuan rumah sahaja," katanya.