Rifdean sandaran utama skuad muay thai negara di Abu Dhabi -- Shahnaz

Oleh Staff Writer 18 Februari 2020 108
Rifdean sandaran utama skuad muay thai negara di Abu Dhabi -- Shahnaz
Presiden Muay Thai Malaysia (PMM), Datuk Muhammad Shahnaz Azmi, melaung keyakinan skuad muay thai negara mampu mempamerkan aksi cemerlang untuk musim 2020 dalam Kejohanan Dunia dan Kejohanan Remaja Dunia selepas mencapai sasaran dalam Sukan SEA Filipina tahun lalu.

PMM meletakkan sasaran satu pingat perak bagi penampilan dalam Kejohanan Muay Thai Dunia di Abu Dhabi Jun ini diikuti satu emas bagi kejohanan remaja di Thailand September ini. 

Sandaran itu diletakkan kepada pemenang pingat emas Sukan SEA Filipina 2019, Muhammad Rifdean Masdor.
Shahnaz yang ditemui selepas mesyuarat jawatankuasa kerja (JKK) dengan Majlis Sukan Negara (MSN) semalam turut mengesahkan tedapat perancangan buat skuad muay thai negara berkelana ke Thailand selama sebulan Mei ini sebelum menghadapi dua tugasan penting itu.

"Kejohanan Dunia dan Kejohanan Remaja dunia adalah sasaran utama skuad muay thai negara dan beberapa kejohanan profesional di Thailand akan dijadikan sebagai pendedahan bagi persiapan untuk musim 2021," kata Shahnaz.

Sementara itu, pengurus pasukan skuad tinju negara, Mohd Iruan Zulkifli, mengesahkan kehadiran jurulatih antarabangsa hanya akan berlaku Jun ini manakala jurulatih, Azmi Md Yunus, akan bersama skuad pelapis.

"Kami telah mengambil keputusan untuk mendapatkan khidmat jurulatih luar negara untuk membimbing barisan petinju negara. Azmi akan kekal dalam staf kejurulatihan bagi menyelia petinju pelapis," kata Iruan.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen