Gimnas muda negara, Rayna Hoh, perlu bersedia dengan cabaran lebih besar sebaik sahaja beralih ke skuad senior tahun depan tanpa perlu terlalu selesa dengan kejayaan meraih pingat perak dalam Sukan Olimpik Remaja 2018.

Saranan itu disuarakan gimnas paling senior, Amy Kwan, yang sudah menganggap Rayna seperti adiknya sendiri selain percaya dengan kemampuannya untuk menggalas tugas dalam skuad senior bermula tahun depan.

Jelasnya, kejayaan Rayna memenangi perak di Buenos Aires, Argentina, tempoh hari ibarat penamat manis buat atlet berusia 15 tahun itu untuk mengakhiri status selaku atlet remaja.

Namun, Amy enggan Rayna dibuai kejayaan terlalu lama, sebaliknya perlu bersedia dengan persaingan lebih sukar dalam skuad senior andai ingin terus mengecapi pencapaian terbaik di peringkat antarabangsa.

Setakat ini, terdapat tujuh atlet senior, termasuk Izzah Amzan, Koi Sie Yan, Tammy Ng Jia Wen, Chong Lok Yi, S. Shansangari dan Nur Naieme Zainul Ariffin.

"Pada peringkat awal, fizikal dan stamina Rayna akan berubah kerana dia masih di peringkat pembesaran.

"Tetapi, aspek penambahbaikan dalam dirinya kelak adalah mengenai emosi.

"Kami boleh menyelitkan faktor emosi dalam rutin aksi. Saya berpendapat ia boleh meningkatkan mutu persembahan.

"Kalau di peringkat remaja sebelum ini, saya masih lagi kebudak-budakan dan banyak bermain-main.

"Bagaimanapun, sebaik mencecah dewasa seperti saya, dia akan menjadi semakin matang dan mampu meluahkan perasaannya dalam rutin," kata Amy.

Menurut Sie Yan pula: "Apa yang dilakukan Rayna adalah tugas yang sangat baik dengan menghasilkan rutin yang stabil dan bersih."

Dalam masa sama, Izzah tidak sabar untuk bergandingan dengan atlet berpotensi itu dengan berkata: "Rayna seorang atlet yang mengutamakan kerjasama sepasukan, saya tidak sabar untuk mengadakan persembahan bersamanya."