Ratu gimnas negara, Farah Ann Abdul Hadi, sedar akan tanggungjawabnya sebagai atlet untuk mengawal pemakanan walaupun meraikan hari raya Aidilfitri.

Sebagai umat Islam, Farah Ann pastinya tidak ketinggalan meraikan Aidilfitri bersama keluarga dan sanak-saudara, namun dia juga perlu berdisiplin dalam setiap pemakanan agar prestasinya tidak menurun sewaktu kembali menjalani latihan nanti.

"Kebiasaannya selepas menjalani ibadah puasa, kami akan mengalami penurunan berat badan. Jurulatih ada berpesan untuk mengawal pemakanan ketika raya dan saya cuba mempraktikkan cara untuk tidak menjamu selera di setiap rumah," katanya.

Selain itu, Farah Ann juga menegaskan, pengambilan air kosong sangat penting bagi menstabilkan keadaan badan selepas menikmati pelbagai jenis juadah ketika Aidilfitri.

"Saya akan sediakan air kosong sendiri di dalam kereta untuk mengawal apa yang telah dimakan," tambahnya.