Skuad ragbi wanita Terengganu kini dalam perancangan untuk menjalani latihan intensif di luar negara sebagai persiapan menghadapi Sukan Malaysia (Sukma) Johor 2020.

Jurulatihnya, Nik Mohd Shahiddan Mohd Zain, berkata pendedahan di peringkat tertinggi amat penting bagi skuad wanita Terengganu yang baru lima bulan menjalani persediaan.

Menurutnya, ketika ini 17 pemain berada dalam pasukannya yang turut akan menyertai lebih banyak pertandingan sebelum memilih senarai akhir 12 pemain.

"Sekiranya diberikan lampu hijau daripada Majlis Sukan Negeri (MSNT), kami bercadang ke Thailand, New Zealand atau Australia.

"Pemain-pemain menunjukkan peningkatan dan kini berada pada tahap yang saya harapkan," jelasnya selepas muncul juara kategori Plate, Kejohanan Ragbi Johor 7s yang berakhir semalam.

Skuad wanita Terengganu menumpaskan RMP Lady Blues 15-0 dalam aksi final yang menyaksikan pasukan pilihan, Dingoes, mengungguli kategori Cup selepas menumpaskan wakil Indonesia, DKI Jakarta.

Kredit foto: Persatun Ragbi Terengganu (PRNT)