Ragbi pasrah penaja utama berdepan kekangan tunai janji 

Oleh Shaiful Shamsudin 8 September 2020 63
Ragbi pasrah penaja utama berdepan kekangan tunai janji 
Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) memegang perumpamaan "senang bersama dan susah bersama" apabila menunda kesemua kejohanan tempatan sehingga Jun 2021.

Presiden KRM, Datuk Shahrul Zaman Yahya, mendedahkan kepada wartawan Nadi Arena, Muiz Aziz, bahawa penaja utama memilih untuk menarik balik dana yang telah dijanjikan akibat impak COVID-19 ke atas ekonomi negara.

"Pandemik ini nampaknya mendatangkan kesan yang mendalam daripada apa yang kami sangkakan. 

"Sehingga kini, kami masih belum ada komitmen daripada mana-mana penaja untuk tahun depan.

"Walaupun pada awal tahun ini ada penaja telah berikan komitmen, tetapi COVID-19 mendorong mereka untuk menarik balik keputusan itu.

"Dalam keadaan yang sukar ini, KRM ambil pendekatan kami senang dan susah bersama-sama," katanya.

Bagaimanapun, Shahrul Zaman menjelaskan bahawa liga ragbi negeri digalak supaya diteruskan dan pemain ragbi harus menyertai liga itu agar dapat terus beraksi secara kompetitif.

Badan induk itu kini lebih tertumpu kepada usaha mencari dana bagi mempersiapkan pasukan kebangsaan intuk menyertai kejohanan antarabangsa, iaitu Kejohanan Ragbi Asia 15s dan Kejohanan Ragbi Asia 7s.

Sebagai pengganti terhadap kejohanan tempatan, KRM sedang mengusahakan perlawanan persahabatan di antara negara jiran seperti Thailand dan Singapura sebagai persiapan buat skuad negara.

"Kami telah berbincang dengan pihak kejurulatihan dan pengurusan, mereka perlu atur program latihan dan mengambil kira keperluan perlawanan pershaabatan, sama ada bertemu pasukan tempatan ataupun bertemu pasukan jiran seperti Singapura dan Thailand," tambahnya. 
 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen