Ragbi: KRM tumpu dua temasya 2022

Oleh Bernama 24 Julai 2020 68
Ragbi: KRM tumpu dua temasya 2022
Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) akan memberikan fokus kepada persiapan menghadapi Sukan Asia dan Sukan Komanwel pada 2022 berikutan ketiadaan acara ragbi 7's dalam Sukan SEA Vietnam tahun depan.

Sukan Komanwel di Birmingham, England dijadualkan pada 28 Julai hingga 8 Ogos 2022 dan diikuti Sukan Asia  di Hangzhou, China dari 10 hingga 25 September 2022.

Menurut jurulatih skuad ragbi 7's negara, Mohd Saizul Hafifi Md Noor, dia dimaklumkan bahawa pengurusan KRM akan menghantar permohonan rasmi kepada Majlis Sukan Negara (MSN) bagi mendapatkan dana untuk menyertai beberapa kejohanan pemanas badan tahun depan sebelum menyertai dua temasya berkenaan.

"Kami  berharap MSN dapat membantu skuad kebangsaan dalam penyediaan bajet bagi bersaing dengan pasukan gergasi dari luar negara pada tahun depan,” katanya.

Acara ragbi 7's mungkin tidak dipertandingkan dalam Sukan SEA 2021 disebabkan Vietnam dikatakan tidak mempunyai kemudahan pertandingan yang memenuhi standard antarabangsa bagi penganjuran acara berkenaan.

Mengulas lanjut, Mohd Saizul Hafifi berkata skuad negara dijangka menyertai Kejohanan Ragbi Asia 7's pada September 2021 di beberapa negara, termasuk Korea Selatan dan Sri Lanka.

Skuad ragbi 7's negara dibarisi 15 pemain berusia 22 tahun dan ke bawah, yang kebanyakan terdiri daripada pelajar universiti, selain lima lagi pemain senior sedia ada.

Pencapaian terbaik skuad negara tahun lalu adalah memenangi Trofi Asia 7's selepas mengatasi Singapura, 17-14 dalam aksi final di Indonesia selain meraih pingat perak Sukan SEA ke-30 di Filipina.



-- BERNAMA

Tentang Penulis

Bernama

Komen