Di sebalik berita positif berkenaan atlet negara yang diberikan kelulusan untuk mula berlatih di bawah Program Road to Tokyo (RTT) bermula 1 Jun ini, khabar suram menghimpit penggiat sukan ragbi apabila Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) mengambil keputusan untuk tidak menganjurkan sebarang kejohanan domestik tahun ini.

Bagaimanapun, Naib Presiden KRM, Fahmy Jalil, mengesahkan Liga Negeri yang sudah bermula boleh kembali berlangsung sebaik tamat tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP).

"Kami mengambil pendekatan untuk tidak menganjurkan sebarang kejohanan tahun ini.

"Kerana musim sukan ragbi masih belum bermula dan tiada sebarang komitmen dengan pihak penaja.

"Jadi, kami tidak boleh memulakan apa-apa kejohanan," katanya.

Dalam pada itu, nasib skuad ragbi 15's dan 7's negara dalam Kejohanan Ragbi Asia masih menjadi tanda tanya memandangkan keputusan akhir hanya akan diputuskan Ogos depan.

Pada asalnya, skuad 15's negara sepatutnya menentang Korea Selatan pada 29 dan 30 Ogos depan.

"Sekarang di Malaysia masih PKP, jadi lapangan terbang di Malaysia masih ditutup dan pasukan Korea tidak boleh datang ke Malaysia.

"Lapangan terbang di Korea juga masih belum dibuka, jadi pasukan Malaysia tidak boleh ke Korea.

"Banyak negara masih dalam perintah berkurung, jadi Ragbi Asia akan membuat keputusan sama ada perlawanan itu masih boleh berlangsung pada tarikh asal atau tidak," tambahnya.