Jurulatih memanah negara, Wan Mohd KhalmizanWan Abdul Aziz, percaya potensi yang dimiliki anak didiknya, Zarif Syahir, dapat ditingkatkan lagi susulan penyenaraian atlet berusia 19 tahun itu dalam Program Podium.

Zarif adalah antara atlet di bawah bimbingan Wan Khalmizan menerusi Program Pelapis Majlis Sukan Negara (MSN) sejak 2014.

Sepanjang tempoh itu, Wan Khalmizan sentiasa menaruh keyakinan tinggi terhadap kemampuan Zarif sehingga dia tersenarai dalam Program Kita Juara bagi temasya KL2017, Ogos lalu.

Kemuncaknya, sudah pasti dengan kemasukan Zarif ke Program Podium, yang menyaksikan lima pemanah recurve berada dalam program berkenaan selepas Khairul Anuar Mohamad, Haziq Kamaruddin, Akmal Nor Hasrin serta Ikram Joni.

Sungguhpun dianggap masih mentah dalam saingan elit, Zarif tidak menghampakan dengan meraih pingat emas acara individu dan berpasukan dalam Kejohanan Memanah Asia di Yangon, Januari lalu.

"Dari tahun lepas lagi, dia sudah menunjukkan potensi apabila meraih keputusan yang baik.

"Selepas Sukan SEA 2017, standard yang dipamerkannya juga tidak kurang hebatnya dengan atlet Program Podium," ujar jurulatih itu.

Bagi Zarif, dia sedia menyahut cabaran untuk menempuhi keperluan mencabar yang akan diharungi dalam Program Podium nanti.

Atlet kelahiran Terengganu itu juga mahu menggunakan kesempatan itu bagi merebut tempat dalam beberapa kejohanan penting tahun hadapan, khususnya temasya Sukan Asia di Indonesia.

"Tahun 2018 lebih mencabar buat saya. Saya mahu cuba berada dalam kalangan atlet senior dan mencari pengalaman untuk menguji pemanah yang lebih hebat daripada saya," kata Zarif.