Tersenarai dalam Program Podium melengkapkan tahun yang cemerlang buat penembak negara, Johnathan Wong dan kini dia lebih fokus untuk memastikan rentak ini dapat diteruskan untuk menghadapi beberapa kejohanan utama pada 2018.

Johnathan menjadi wakil tunggal daripada sukan menembak dalam Program Podium kendalian Insitut Sukan Negara (ISN) selepas senarai atlet untuk tahun 2018 diumumkan minggu lalu.

Ia susulan kejayaannya memenangi emas acara 10 meter air pistol dalam temasya Sukan SEA Kuala Lumpur, Ogos lalu, dengan menewaskan juara Olimpik Rio 2016 dari Vietnam, Hoang Xuan Vinh.

Lantaran itu, atlet berusia 25 tahun ini mahu memanfaatkan sebaik mungkin peluang berada dalam Program Podium untuk tampil lebih cemerlang tahun depan.

“Ia merupakan satu tanggungjawab yang besar dan saya perlu memberikan satu keputusan yang baik bagi tahun depan. Saya perlu bekerja keras,” katanya.

Satu lagi pertandingan akan disertai Johnathan tahun ini, iaitu Kejohanan Airgun Asia Ke-10 di Wako City, Jepun bermula 6 Disember nanti.

Menurut Johnathan, saingan itu nanti akan menjadi medan terbaik untuk melihat sejauh mana kemampuan pencabar dari rantau Asia yang lain, khususnya dalam persiapan awal untuk temasya Sukan Asia di Indonesia, Ogos tahun depan.

Ketika ini, dia berada di kedudukan ke-32 senarai penembak ranking Asia.

“Kejohanan di Jepun menjadi medan persiapan menghadapi Sukan Asia. Daripada situ, kami berpeluang melihat penembak-penembak lain yang beraksi dan menilai peningkatan yang boleh dilakukan,” tambahnya.