Majlis Sukan Negara (MSN) memberikan keistimewaan buat skuad pelayaran apabila mengekalkan kesemua atlet daripada sukan itu dalam Program Podium.

Ia bagi memastikan kejayaan mereka dalam Sukan Olimpik Tokyo, Julai depan.

Menurut Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail, seramai 27 pelayar negara akan kekal berada dalam Program Podium selain berkemungkinan turut menyenaraikan beberapa pelayar baru ke dalam program itu.

MSN juga memberikan kelulusan kepada Persatuan Pelayaran Negara (MSA) untuk menambah dua orang jurulatih baru.

"Buat masa ini, mesyuarat bersetuju untuk mengekalkan atlet (pelayaran) dalam program podium.

"Kami juga akan menaik taraf atlet pelapis, yang sudah melepasi peringkat umur, untuk menyertai kejohanan yang lebih besar," katanya dalam mesyuarat jawatankuasa kerja (JKK) bersama MSN di Kuala Lumpur hari ini.

Dalam perkembangan berasingan, pengurus skuad menembak negara, Datuk Musa Omar, mendedahkan bahawa hanya dua penembak, iaitu Alia Sazana Azahari dan Nur Suryani Mohamed Taibi, layak untuk menyertai program khas menjelang Sukan Asia dan Sukan Komanwel 2022.

Menurutnya, Persatuan Menembak Kebangsaan Malaysia (NSAM) mendapat sokongan daripada MSN untuk membina semula skuad menembak kebangsaan menerusi satu program baru yang akan melibatkan skuad pelapis menjelang dua temasya itu.

"Ia melalui kejohanan merebut tempat tahun lalu.

"Suryani memenangi pingat gangsa dalam Kejohanan Menembak Asia di Doha.

"Kerana itulah kedua-dua penembak ini tersenarai dalam program," katanya.