Pengarah Program Podium, Tim Newenham, menganggap jurulatih memanah para negara, Marzuki Zakaria, adalah pilihan terbaik untuk Hasihin Sanawi sepanjang atlet itu berada dalam program 2017 itu.

Tegas Newenham, tiada istilah tidak adil untuk Hasihin jika dia sendiri berada di bawah bimbingan jurulatih yang sememangnya sudah serasi dengannya.

Benar, Hasihin memerlukan seorang jurulatih yang lebih berpengalaman, namun apa yang ditampilkan Hasihin bersama Marzuki mampu membuktikan perubahan prestasi pemanah itu, akhir-akhir ini.

"Kami menilai pilihan terbaik buat atlet. Ada kalany, apabila seseorang atlet itu berlatih dengan jurulatih berbeza, ia tidak sebagus seperti berlatih secara berkumpulan.

"Lagipun, Marzuki layak untuk melatih Program Podium," kata Newenham.

Sungguhpun Hasihin tersisih dalam Program Podium 2018, atlet itu masih kekal di bawah kendalian Marzuki dalam Program Majlis Sukan Negara (MSN).

Newenham sendiri mengharapkan kebangkitan Hasihin dalam Sukan Para Asia tahun depan agar namanya kembali mendapat tempat dalam Program Podium.

"Kami melihat kepada penyelesaian dan situasi berbeza yang dihadapi Program Podium.

"Saya harap Hasihin akan kembali tersenarai dalam Program Podium kerana sebagai atlet, (prestasi) mereka sentiasa berkembang," katanya.

Kenyataan Newenham itu, bagaimanapun, dianggap tidak memihak kepada Marzuki kerana kontraknya dibayar mengikut Program MSN tetapi pada masa sama, perlu memikul tanggungjawab memastikan prestasi terbaik dalam program elit.