Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim Chee Keong, berkata Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tidak dapat menaikkan gaji barisan jurulatih negara kerana Program Podium 2.0 hanya fokus kepada atlet.

Seramai 208 atlet dalam Program Podium 2.0 bakal menikmati kenaikan kadar elaun berdasarkan penyelarasan semula skim elaun latihan.

Bagaimanapun, tidak dinyatakan secara jelas sama ada kenaikan elaun turut membabitkan barisan jurulatih kepada atlet-atlet yang dikenal pasti dalam program baru itu.

Steven menganggap kebajikan atlet menjadi keutamaan dalam agenda KBS dalam memastikan kecemerlangan sukan negara dapat diteruskan.

"Secara teknikalnya, elaun atlet bukan dinaikkan, sebaliknya dikembalikan.

"Ini adalah pengumuman tentang atlet tetapi untuk jurulatih pula, kami akan pertimbangkannya pada masa akan datang," katanya.

Steven turut menjelaskan Program Podium yang dijenamakan semula itu merupakan kombinasi sistem 'tier' yang diperkenalkan Disember lalu.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, mengumumkan pelaksanaan semula Program Podium 2.0 dan kenaikan elaun barisan atlet negara Rabu lalu sebagai langkah untuk memastikan atlet sentiasa berada di tahap prestasi terbaik dengan mengutamakan kebajikan mereka.