Atlet memanah recurve negara, Khairul Anuar Mohamad, menganggap beberapa pencabar rantau Asia sudah mula melonjakkan prestasi mereka, khususnya dalam persediaan menghadapi Sukan Asia di Indonesia, tahun depan.

Sukan Asia menjadi tumpuan utama skuad memanah negara pada 2018 selepas acara itu tidak dipertandingkan dalam Sukan Komanwel Gold Coast.

Berdasarkan persembahan beberapa wakil Asia dalam Kejohanan Dunia di Mexico City pada bulan lalu, Khairul melihat ada beberapa negara mempamerkan peningkatan memberangsangkan.

Malaysia juga tidak terkecuali dengan berjaya memberikan saingan kepada Korea Selatan yang sentiasa menjadi pilihan utama bagi saingan berpasukan.

"Untuk kejohanan di peringkat dunia, kadangkala mereka mampu menyerlah tetapi kini persaingan semakin sengit.

"Dalam Asia, kami akui cabaran semakin sukar apabila menentang Korea Selatan, China dan Jepun kerana kebanyakan mereka adalah pemenang Sukan Olimpik," kata Khairul Anuar.

Kejohanan Asia di Dhaka, Bangladesh pada hujung bulan ini akan menjadi pertandingan terakhir buat barisan pemanah negara untuk tahun 2017.

Pencapaian terbaik Malaysia dalam kejohanan ini adalah pada edisi 2011 di Tehran, dengan Khairul meraih pingat emas berganda acara recurve individu dan berpasukan bersama Cheng Chu Sian serta Haziq Kamaruddin.

"Mereka akan turun dengan pemenang pingat emas di Rio 2016 tetapi kami akan turun dan berjuang tidak kira dengan siapa yang kami perlu hadapi. Buat masa sekarang, kami hanya fokus terhadap prestasi masing-masing untuk memantapkan pasukan," tambahnya.