Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, melaungkan cabaran untuk Malaysia muncul juara keseluruhan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 selepas merancang peruntukan besar dalam Bajet 2018 untuk sektor sukan yang akan diumumkan hujung bulan ini.

Amanat ini menjadi petanda jelas bahawa sukan menjadi keutamaan kerajaan Malaysia.

Ternyata, kejayaan meraih empat pingat perak dan satu gangsa Sukan Olimpik selain tiga emas dan satu gangsa Sukan Paralimpik Rio 2016 membuktikan kemampuan rakyat Malaysia bersaing di pentas dunia.

Cabaran dilaungkan Perdana Menteri untuk Malaysia muncul juara keseluruhan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 juga bermakna kontinjen negara tidak boleh terus dibuai dengan kejayaan di Rio, apatah lagi Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, bertekad menyahut cabaran yang telah dilontarkan itu.

"Saya harap dengan ucapan Perdana Menteri, ditambah dengan cabaran yang diberikan terhadap saya untuk muncul juara keseluruhan Sukan SEA 2017, ia dapat mempersiapkan atlet sebaik mungkin untuk menghadapi kejohanan itu.

"Persiapan terbaik mestilah datang dengan peruntukan yang secukupnya," kata Khairy.

Pada Sabtu, Najib menyampaikan ganjaran RM7.64 juta menerusi Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) yang menyaksikan atlet olahraga Paralimpik, Abd Latif Romli serta Muhammad Ziyad Zolkefli, muncul penerima tertinggi hingga bergelar jutawan.

Latif dan Ziyad masing-masing menerima RM1.05 juta.

Latif meraih emas lompat jauh T20 di samping turut memecahkan rekod dunia Paralimpik manakala Ziyad emas lontar peluru T20 dan turut mencipta rekod dunia Paralimpik.

Bagi Sukan Olimpik Rio, jaguh badminton, Datuk Lee Chong Wei, muncul penerima tertinggi dengan RM500,000 selepas berjaya membawa pulang pingat perak perseorangan lelaki.