Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) kini dalam usaha membentuk satu pasukan berbasikal lebuh raya baru yang ditunjangi barisan pelumba muda sebagai persiapan menghadapi Sukan SEA Manila 2019 dan juga perancangan jangka panjang.

PKBM sudah mengemukakan lapan nama kepada Majlis Sukan Negara (MSN) ketika mesyuarat Jawatankuasa Kerja (JKK) untuk diserap masuk ke dalam Program Sukan SEA 2019.

Antara nama yang dicadangkan adalah pemenang pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 bagi acara ujian masa lebuh raya, Muhammad Fauzan Lutfi, serta pelumba PDRM, Muhd Elmi Jumari.

Bagaimanapun, MSN meminta PKBM untuk menimbang kembali nama-nama tersebut dengan tumpuan mencari pelumba muda berusia di bawah 25 tahun sebagai pelan jangka panjang.

“Atas pandangan Ketua Pengarah MSN, kami akan melihat kepada pelumba-pelumba bawah 25 tahun.

“Perkara ini masih belum diputuskan tetapi telah berada dalam perancangan,” kata Presiden PKBM, Datuk Abu Samah Abdul Wahab.

Dalam masa sama, PKBM masih belum memutuskan siapa bakal membimbing pasukan berbasikal lebuh raya untuk program menghadapi Sukan SEA 2019.

Terdahulu, jawatan jurulatih kebangsaan disandang oleh Syed Muhammad Hussein Syed Mazlan yang membimbing skuad negara membawa pulang dua emas, tiga perak dan satu gangsa ketika ketika temasya Kuala Lumpur 2017.

“Ada nama yang telah dikenalpasti tetapi kami akan meneliti lagi pemilihan yang dijalankan,” tambahnya.