NEPAL 0 FILIPINA 0

Nepal dan Filipina mengutip mata pertama masing-masing dalam Kejohanan Hoki Dalam Dewan Antarabangsa Wanita Piala Tuanku Zara apabila seri 0-0 di Dewan Jubli Merdeka, Kuala Kangsar, sebentar tadi.


Selepas menjadi mangsa belasahan Uzbekistan, Malaysia dan Taiwan sebelum ini, kedua-dua pasukan turun buat kali ketiga dalam kejohanan lima pasukan itu.

Pertembungan di antara dua pasukan sama taraf itu seperti dijangka berlangsung seimbang dengan kedua-dua pasukan gagal menyudahkan peluang dicipta.

Nepal, yang pernah mengatasi Filipina 3-2 dalam Kejohanan Hoki Dalam Dewan Piala Asia di Chonburi, Thailand, Jun lalu gagal mengulangi kejayaan itu kali ini.

Harapan yang disandar kepada Devika BK yang meledak gol tunggal Nepal ketika tumpas 1-6 kepada Taiwan semalam tidak menjadi apabila dia dirantai oleh pasukan lawan.