Kejohanan Piala Laver terpaksa ditangguhkan setahun selepas penganjur Terbuka Perancis secara kontroversi mengubah tarikh grand slam itu kepada tempoh yang sama dengan saingan berpasukan itu.

Roger Federer -- yang menguruskan Piala Laver -- berkata dia akan bersaing dalam Piala Laver 2021 pada 24 sehingga 26 September di Boston, Amerika Syarikat.

Federer -- yang merupakan pemenang 20 kali grand slam -- akan berusia 40 tahun ketika saingan yang ditangguhkan itu dijalankan

Boston dijadualkan mengendalikan Piala Laver tahun ini pada 25 hingga 27 September tetapi bulan lalu, ketua Terbuka Perancis mengumumkan penangguhan saingan itu daripada Mei kepada 20 September.

Perubahan oleh ketua Roland Garros itu mengejutkan dunia tenis dan Piala Laver secara khususnya.

"Kami perlu membuat keputusan terhadap acara kami," kata Pengerusi Piala Laver, Tony Godsick.

"Kami tahu peminat setia akan kecewa kerana perlu tunggu setahun lagi untuk Piala Laver di Boston tetapi ini tanggungjawab yang perlu diambil bagi mengelakkan konflik dalam kalendar."

Federer menambah: "Malang sekali Piala Laver terpaksa ditangguhkan kepada tahun depan tetapi ketika ini, ia langkah terbaik untuk semua."