Tuan rumah Piala Dunia Ragbi 2023, Perancis, akan bertemu New Zealand dalam perlawanan peringkat kumpulan manakala Afrika Selatan akan menghadapi Ireland dan Scotland.

Perancis dan juara tiga kali, New Zealand, akan turut disertai Itali dan pasukan daripada pusingan kelayakan benua Amerika dan Afrika.

Ireland dan Scotland bertemu sesama sendiri dalam kejohanan edisi 2019 di Jepun dan akan kembali beradu tenaga dalam saingan Kumpulan B, yang turut disertai skuad Springboks itu selaku juara bertahan.

Kumpulan C pula menyaksikan Wales, Australia, dan Fiji sekali lagi dihimpunkan dalam satu kumpulan, sama seperti tahun lalu.

Dalam Kumpulan D, jurulatih England, Eddie Jones, akan berdepan bekas pasukan kendaliannya, Jepun, selain Argentina, yang menewaskan New Zealand buat kali pertama dalam sejarah bulan lalu.


Setakat ini, 12 pasukan sudah mengesahkan kelayakan mereka dalam kejohanan itu dengan lapan pasukan lain akan ditentukan pada November 2022.

Penganjur kejohanan itu akan mengumumkan jadual perlawanan dan venue pertandingan pada Februari depan.