Michael Chieka sedang mencari jalan untuk Australia mengurangkan risiko dikenakan penalti dalam Piala Dunia Ragbi di Jepun.

Wallabies meraih kemenangan selesa 45-10 ke atas Uruguay, Sabtu lalu, namun Adam Coleman dan Lukhan Salakaia-Loto dilayangkan kad kuning kerana rempuhan tinggi.

Michael Hooper dan Kurtley Beale turut dikenakan penalti oleh pengadil, Mathieu Reynal, dalam perlawanan di Oita itu manakala Reece Hodge terlepas perlawanan berkenaan kerana digantung tiga perlawanan selepas melakukan rempuhan gegabah ke atas Peceli Yato ketika menentang Fiji dalam perlawanan pembukaan Kumpulan D.

Australia merekodkan 12 penalti ke atas Uruguay hujung minggu lalu dan Chieka tidak mahu membincangkan mengenai teknik rempuhan pasukannya, namun mahu menangani isu disiplin mereka menjelang perlawanan dengan Georgia, Jumaat ini.

"Kami akan menanganinya, kami mempunyai idea tentang bagaimana untuk kami melakukannya dengan lebih baik," kata jurulatih itu.

"Tidak kira dari sudut mana anda melihatnya, penalti itu memang benar.

"Jadi, anda perlu melakukan sesuatu kerana sama ada ia sesuatu yang benar atau persepsi semata-mata, kami berdepan kesalahan itu dan kehilangan pemain dengan cara yang tidak sepatutnya.

"Kami hanya perlu meningkatkan standard kami, ia semudah itu," katanya lagi.