AFRIKA SELATAN 19 WALES 16

Afrika Selatan akan mencongak perhitungan dengan England dalam final Piala Dunia Ragbi di Stadium Antarabangsa Yokohama, Sabtu depan selepas meraih kemenangan tipis 19-16 ke atas Wales dalam separuh akhir hari ini.


Selepas England melakukan kejutan menumbangkan juara bertahan, New Zealand, dalam satu lagi perlawanan separuh akhir semalam, Afrika Selatan dan Wales membawa misi berbeza dengan tujuan sama ketika turun di venue yang akan menjadi saksi perhitungan terakhir mereka jika layak ke final.

Jika kemenangan memihak Afrika Selatan, ia akan menjadi perlawanan ulangan final edisi 2007 di mana skuad Spingboks itu menewaskan England untuk menjulang kejuaraan kedua mereka.

Wales pula turun dengan misi untuk meraih penampilan pertama di pentas tertinggi itu.

Dan kedua-dua pasukan mempamerkan keinginan yang tinggi untuk merealisasikan visi itu dengan kedudukan terikat 9-9 sebaik babak kedua bersambung.

Afrika Selatan kemudian menghasilkan try menerusi Damian De Allende yang disusuli conversion Handre Polllard untuk mendahului 16-9 pada minit ke-56.

Wales kemudian berhasil menyamakan kedudukan menerusi try Josh Adams dan conversion Leigh Halfpenny pada 14 minit terakhir.

Bagaimanapun, try penalti Pollard pada minit-minit terakhir menjadi pemisah untuk membawa Afrika Selatan ke final.

Jurulatih Wales, Warren Gatland, meraih sagu hati dengan kenyataan bahawa pasukannya sudah melangkaui jangkaan mereka sendiri dengan kemaraan ke separuh akhir.

“Kami memberikan 100 peratus dan tiada apa-apa lagi yang mampu kami tawarkan.

“Afrika Selatan sebuah pasukan yang sukar dan fizikal. Mereka memenanginya dengan beradu kekuatan tapi saya fikir adakalanya kami juga bagus.

“Pasukan kami tidak berundur walau selangkah pun dan saya hanya boleh berbangga dengan pemain-pemain ini,” kata Gatland yang mengakhiri tempohnya sebagai jurulatih selepas kejohanan ini.

Jurulatih Afrika Selatan, Rassie Erasmus, pula percaya semangat dan kesungguhan Springboks bukan sekadar memenangkan mereka, malah meraih penghormatan daripada peminat di negara mereka dan di seluruh dunia.

“Kami dalam final Piala Dunia. Saya percaya itu meraih kami penghormatan tapi kami baru separuh jalan ke sana,” katanya.

"Kami akan berdepan England yang berkelas tapi kami berpeluang kini. Kami mungkin melanjutkannya untuk menjulang piala, siapa tahu.

“Pemain-pemain ini bersatu sebagai satu kumpulan dan tidak kisah siapa pun yang digantikan. Mereka bertahan di garisan try dan detik-detik itu terbukti amat penting.”