AFRIKA SELATAN 32 ENGLAND 12

Afrika Selatan melakar sejarah baru ragbi dunia selepas menundukkan England 32-12 dalam final Piala Dunia Ragbi di Stadium Antarabangsa Yokohama, sebentar tadi.


Skuad Springboks itu telah menjulang satu piala lebih awal tahun ini selepas menjuarai Kejohanan Ragbi, Ogos lalu, dan hari ini pula, barisan kendalian jurulatih, Rassie Erasmus, itu mencapai sesuatu yang terlepas daripada New Zealand dan Australia pada masa lalu.

Sepanjang lima tahun lalu apabila Kejohanan Ragbi dan Piala Dunia Ragbi berlangsung, juara kejohanan pertama itu gagal mengulanginya dalam kejohanan kedua berkenaan.

Makazole Mapimpi dan Cheslin Kolbe tampil menyerlah buat Afrika Selatan dan Handre Pollard menyumbang 22 mata untuk mengesahkan kejuaraan.

Skuad The Springboks itu menenggelami pasukan pilihan, England, untuk menyamai pencapaian New Zealand dengan menjuarai Piala Dunia sebanyak tiga kali.

Afrika Selatan menguasai set piece sambil menyerlahkan prestasi bertenaga dan berkesungguhan tinggi yang menyaksikan England tidak mampu menggerakkan pasukan selepas kekecewaan awal apabila Kyle Sinckler terpaksa dikeluarkan setelah mengalami gegaran di kepala.

Pollard pula terus memukau dengan ketepatan sepakan penaltinya pada ketika Mapimpi dan Kolbe melakukan try dalam separuh masa kedua untuk Afrika Selatan tampil ditabalkan juara Hemisfera Selatan dan juara dunia pada tahun yang sama.

Empat penalti Owen Farrell sekadar menjadi sagu hati buat England sambil Afrika Selatan terus bertahan dengan cemerlang bagi membolehkan Siya Kolisi mengukir nama selaku kapten kulit hitam pertama menjulang Piala Webb Ellis kesudahannya.