Skuad kriket B-19 negara mengalami kekalahan kedua selepas akur dengan kehebatan Bangladesh dalam Piala Belia Asia di Oval Bayuemas, Klang, hari ini.

Skuad negara yang ketiadaan beberapa pemain utama kerana menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menjangkakan satu lagi aksi sukar selepas tewas kepada India dalam pertemuan pembuka tirai, Jumaat lalu.

Nyata, Bangladesh yang diberi kesempatan untuk membuat pukulan terlebih dahulu memanfaatkan sepenuhnya peluang.

Diterajui persembahan cemerlang Towhid Hridoy yang memperoleh 120 larian, Bangladesh mengumpul 335 larian keseluruhan.

Jumlah itu amat sukar untuk dicabar pasukan negara yang menamatkan saingan dengan hanya 73 larian, defisit 262 larian memihak lawan.

"Sebenarnya, kami meletakkan sasaran lebih tinggi dalam aksi bertemu Bangladesh hari ini.

"Pujian harus diberikan kepada lawan kerana mempamerkan aksi terbaik. Kami kehilangan beberapa pemain utama," kata jurulatih pasukan negara, Suresh Navaratnam.

Skuad negara akan melengkapkan saingan Kumpulan A dengan pertemuan menentang Nepal esok.

Rekod pertemuan memihak Nepal dengan lima kemenangan daripada enam pertemuan sebelum ini.

Nepal melakar kejutan dengan menewaskan pasukan pilihan dan juara bertahan, India, dan pastinya Malaysia perlu tampil dengan aksi lebih konsisten.

"Kami mahu menamatkan perlawanan hari ini terlebih dahulu. Sudah tentu sasaran yang diletakkan agak tinggi tetapi apa yang boleh kami lakukan adalah bermain dengan cara kami, cuba dapatkan mata lebih daripada 70 larian.

"Kemenangan itu belum pasti selepas melihat kekuatan Bangladesh tetapi menjelang pertemuan dengan Nepal esok, mereka juga mempunyai kekuatan tersendiri selepas menewaskan India dan hampir menewaskan Bangladesh.

"Kami sudah berdepan Nepal beberapa kali sebelum ini dan berharap dapat melakukan sesuatu yang lebih baik," tambah Suresh.

Perlawanan hari ini turut menyaksikan Pakistan mengatasi Sri Lanka menerusi tiga wiket.