Atlet berbasikal para negara, Najib Turano, menganggap penentuan semula klasifikasi C4 yang dipegang ketika ini adalah jalan terbaik bagi memastikan kemunculannya dalam Sukan Para Asia Jakarta/Palembang pada Oktober depan bukan sekadar mimpi.

Penentuan semula klasifikasi dari C4 ke C3 sekurang-kurangnya menghidupkan semula peluang buat Najib untuk beraksi di Indonesia nanti.

Bagaimanapun, terdapat syarat yang perlu dilalui Najib, iaitu perlu menyertai Kejohanan Dunia Lebuhraya di Itali pada Ogos depan bagi mendapatkan pelepasan Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI).

“Kami terus mencuba dan melihat proses menuju ke Sukan Para Asia pada Oktober nanti. Buat masa sekarang, jurulatih sedang memantau keadaan saya.

“Saya mengikuti latihan dan setakat ini, segalanya dapat diteruskan walaupun ada turun dan naiknya tetapi sebagai pilihan lain, kami cuba mendapatkan laporan doktor untuk diklasifikasikan semula daripada C4 kepada C3,” katanya.

Najib berdepan penarikan diri daripada Sukan Para Asia 2018 ekoran masalah kecederaan lama yang mengganggu tumpuannya dalam sesi latihan harian.

Atlet itu turut mengakui dia tidak mampu untuk memberi tumpuan 100 peratus dan gagal untuk mengekalkan kosistensi dalam setiap kayuhannya ekoran masalah yang dihadapi.

“Jika dilihat kepada keadaan sekarang, saya boleh ke sana tetapi ia hanya 50-50. Ada masanya berada dalam situasi yang baik tetapi kadangkala ia terus menurun.

“Jadi, kami cuba meneliti semula untuk beraksi dalam kategori C3,” tambahnya.

Dalam masa sama, kemunculan kali kedua Najib dalam Sukan Para Asia masih mengekalkannya selaku prospek pingat bagi dua acara, iaitu 4,000 meter ujian masa dan pecut campuran berpasukan.