Aspek kekuatan fizikal menjadi tumpuan utama ketua jurulatih ragbi kebangsaan, Lee Nyuk Fah, bagi fasa kedua kem latihan untuk menghadapi Kejohanan Ragbi Premier Asia, April tahun depan.

Kejohanan Ragbi Premier Asia 2018 menjadi cabaran getir buat skuad ragbi negara selepas mengungguli saingan Divisyen Satu selama dua tahun berturut-turut.

Saingan Premier itu juga merupakan sebahagian daripada pusingan kelayakan Piala Dunia 2019 yang akan dilangsungkan di Jepun.

Dua pasukan dalam kelompok lima terbaik Asia, iaitu Hong Kong dan Korea Selatan, berada dalam kejohanan itu nanti dan Nyuk Fah mengakui kemampuan fizikal pemain perlu lebih ditingkatkan supaya dapat memberi saingan.

Antara langkah yang diambil adalah menerusi program kekuatan serta pemantapan fizikal hasil kerjasama dengan Institut Sukan Negara (ISN).

"Latihan kami di sini merangkumi kekuatan, kelajuan dan yang terakhir, kardiovaskular, bagi meningkatkan kecergasan pemain.

"Dengan bantuan pakar-pakar ISN dan pemakanan, kami berharap pemain negara dapat mencapai tahap yang ditetapkan," ujarnya.

Seramai 28 pemain terlibat dalam fasa dua kem latihan itu dengan beberapa daripadanya merupakan muka baru yang dinilai hasil persembahan dalam saingan Piala Agong serta saingan liga sepanjang tahun ini.

Selain ISN yang memberi bantuan, skuad ragbi negara juga kini menetap secara sepenuh masa di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, bagi memudahkan mereka untuk menjalani latihan.

"Saya sentiasa menaruh kepercayaan terhadap pemain baru, terutama pemain muda.

"Mereka mempunyai keinginan yang kuat dan kemahuan untuk merebut tempat. Itulah petanda yang baik dalam sukan," katanya lagi.