Persaraan: PKBM tidak tolak Fatehah bantu gilap bakat baru

Oleh Shaiful Shamsudin 4 April 2020 112
Persaraan: PKBM tidak tolak Fatehah bantu gilap bakat baru
Fatehah Mustapa kini dalam fasa awal persaraan yang dianggap kebanyakan bekas atlet sebagai paling sukar tetapi pengumuman Persekutuan Berbasikal Malaysia (PKBM) pastinya menggembirakan ramai pihak.

Dalam soal persaraan, persekutuan itu paling awal tampil memberikan jalan bagi peralihan pelumba berbasikal trek dari Terengganu berkenaan ditawarkan platform terbaik, iaitu bertindak sebagai seorang jurulatih.

Naib Presiden PKBM, Datuk Amarjit Singh Gill, mengakui ini merupakan fasa yang sukar buat atlet itu dalam menempuhi persaraan yang mengejutkan buat bekas atlet elit negara itu.

Bersandarkan pengalaman beraksi dalam Sukan Olimpik, Sukan Komanwel dan Sukan Asia, badan induk itu enggan mensia-siakan potensi yang dimiliki bekas pelumba tersebut dan akan berusaha membantunya bertukar ke bidang kejurulatihan.

Di tambah pula, Malaysia amat ketandusan jurulatih wanita dalam acara berbasikal trek.

"Kami memang kekurangan jurulatih berbasikal wanita di Malaysia.

"Dengan pengalamannya selepas beraksi di persada antarabangsa sekian lama, ia satu pengalaman yang cukup bagus untuk beliau berkongsi pengalamannya dengan pelumba baru negara, khasnya wanita. 

"PKBM akan melihat bagaimana untuk membantunya beralih ke peringkat seterusnya.

"Kami memberi sokongan penuh sekiranya dia menjadi jurulatih untuk pelumba wanita," katanya hari ini. 

Amarjit sedar ketiadaan pelumba berusia 31 tahun itu yang mengumumkan persaraan bermakna ada kelompongan yang perlu diisi memandangkan negara kini kekurangan pelumba berbasikal trek wanita yang berkaliber.

"Dalam masa sama, kami mempunyai bakat-bakat baru yang telah pun menunjukkan prestasi yang cemerlang. 

"Kekosongan itu boleh diisi walaupun Fatehah sudah bersara."
 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen