Perkampungan sukan Para Sukma 2018 berada dalam keadaan baik bagi memastikan keselesaan 2,000 atlet yang akan mengambil bahagian dalam edisi kali ini.

Kolej kediaman pelajar di Politeknik Ungku Omar, Ipoh menjadi pilihan pihak penganjur sebagai perkampungan sukan sempena temasya Sukan Para Sukma 2018.

Ia mampu menempatkan sehingga 2,500 orang sambil dilengkapi beberapa kemudahan yang mesra orang kelainan upaya (OKU).

Tinjauan Nadi Arena petang tadi menyaksikan proses daftar masuk kontinjen sedang diuruskan wakil sekretariat yang berada di bawah Jawatankuasa Penginapan menerusi kerjasama Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP).

Hanya kontinjen Sarawak mengambil keputusan untuk mencari penginapan sendiri dan tidak mendaftar masuk ke perkampungan sukan itu.

"Fasiliti yang disediakan mesra OKU dan setakat ini kami tidak menerima aduan mengenai sebarang masalah.

"Kami akan terus memantau dan sedia membantu setiap atlet yang terlibat," kata Pengurus Komunikasi dan Hal Ehwal Korporat PKNP, Nur Ramziyah Mohd Halil.

Dalam pada itu, beberapa atlet para yang ditemui berpuas hati dengan kemudahan yang disediakan di perkampungan sukan kali ini.

"Kemudahan yang disediakan amat bersesuaian buat golongan OKU.

"Segalanya kelihatan baik setakat ini," kata atlet boling tenpin para Sabah, Ahmad Amir Hussin.

"Secara keseluruhan, fasiliti yang disediakan di sini amat baik," kata atlet powerlifting Selangor, Nor Arif Abdullah.