Pengunduran Tunku Tan Sri Imran Tuanku Ja'afar selaku Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) tahun depan dianggap sebagai satu kehilangan besar berdasarkan kredibilitinya yang cukup berpengaruh dalam pembangunan sukan negara.

Demikian luahan oleh Timbalan Presiden MOM, Datuk Seri Norza Zakaria, selepas Tunku Imran memutuskan untuk tidak mempertahankan jawatannya dalam Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) badan induk itu pada Jun tahun depan.

Norza berkata tiada lagi individu yang berpengaruh di peringkat antarabangsa dalam MOM, apatah lagi Tunku Imran turut merupakan Ahli Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC).

Jelasnya, Tunku Imran yang telah memegang jawatan itu sejak 1998 berjaya membawa perubahan yang cukup baik selama hampir 20 tahun dan sukar untuk dicari ganti peneraju sepertinya.

"Ia merupakan satu kehilangan yang amat besar kepada sukan negara memandangkan Tunku Imran adalah seorang individu yang bukan sahaja dikenali di peringkat Asia Tenggara tetapi beliau dikenali di peringkat dunia.

"Ia kerana beliau pernah memimpin Persekutuan Sukan Komanwel dan beliau sekarang berada dalam IOC. Sudah tentu peranan beliau begitu besar dalam pembangunan sukan negara," katanya.

Sementara itu, Penolong Setiausaha Agung MOM, Datuk Sieh Kok Chi, pula menganggap calon sesuai untuk mengambil alih tugas presiden adalah Norza -- antara individu yang masih muda sepertimana yang diinginkan oleh Tunku Imran.

Kok Chi turut mengesahkan bakal melepaskan jawatannya tahun depan atas faktor usia.

"Beliau pun masih muda dan boleh mengambil tanggungjawab jawatan presiden. Sehingga kini, saya tidak dengar nama sesiapa pun (menggantikan Tunku Imran).

"Tetapi mengikut sistem demokrasi kami, sesiapa pun boleh. Sekarang ini, pilihan yang ada adalah Norza," katanya lagi.