Pengalaman sulung Natasha Roslan dalam Piala Dunia Boling Tenpin di Palembang, Indonesia, yang berakhir hari ini, membawa banyak pengajaran buat bintang negara itu.

Sebagai pemain berstatus elit, kekecewaan adalah sentimen yang paling sesuai untuk menggambarkan kegagalannya untuk ke final selepas tewas di tangan jaguh Australia, Rebecca Whiting, dalam separuh akhir.

Faktor format pertandingan dan ketiadaan rakan sepasukan seperti yang lazim dalam kejohanan lain sebelum ini sedikit-sebanyak menawarkan cabaran berbeza buatnya.

"Sebagai pemain elit negara, sudah pasti saya kecewa tewas dalam separuh akhir.

"Format kalah mati memberikan tekanan yang kuat.

"Semuanya bermula daripada awal dan empat pemain memiliki matlamat sendiri untuk memenangi kejohanan ini.

"Jadi, tekanan dalam separuh akhir agak berbeza berbanding hari-hari sebelumnya.

"Saya agak terkilan kerana kalah dalam separuh akhir kerana saya berharap untuk memenanginya dan ke final," katanya.