Penerjun negara, Leong Mun Yee, serta rakan sepasukan mahu bertemu bekas ketua jurulatih terjun negara, Yang Zhuliang, yang bagaimanapun telah pulang ke China, Rabu lalu, tanpa mengucapkan selamat tinggal kepada anak buahnya.

Penerjun negara terkejut dengan tindakan Zhuliang meninggalkan Malaysia secara tergesa-gesa.

Mereka berharap untuk bertemu pengendali itu buat kali terakhir, namun impian itu tidak kesampaian.

Rata-rata mereka mahu mengucapkan terima kasih kepada jurulatih berusia 53 tahun itu kerana membentuk mereka sebagai penerjun disegani di seluruh dunia.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada Zhuliang kerana telah membimbing kami sebelum ini, saya mengucapkan semoga maju jaya dalam kariernya," kata Mun Yee.

"Saya mendoakan yang terbaik buat Zhuliang, kami berharap dapat bertemunya ketika menghadapi kejohanan akan datang," kata Nur Dhabitah Sabri.

Sesi latihan skuad negara kini dikendalikan penolong jurulatih, Zhang Yukun, sementara menantikan ketibaan jurulatih dari Australia.

Mereka akan mengadakan kem latihan pusat di Beijing, China bermula 20 Januari ini sebelum menyertai Grand Prix Dunia di Jerman pada Februari.

"Beliau banyak membentuk penerjun berkualiti dan kami berharap untuk terus mempamerkan persembahan terbaik untuk membanggakan beliau," kata Gabriel Gilbert Daim.