Ketua jurulatih menembak negara, Park Sang-soon, memberi bayangan skuad seimbang di antara pistol dan rifle akan mewakili negara untuk menghadapi Sukan Komanwel Gold Coast dari 4 hingga 15 April tahun depan.

Setakat ini, 14 nama berada dalam senarai panjang yang dikemukakan Persatuan Menembak Malaysia (NSAM) kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM) untuk dipertimbangkan ke temasya sukan itu.

Katanya, keutamaan diberikan kepada pemenang pingat emas dalam Sukan SEA Kuala Lumpur, Ogos lalu.

Meskipun belum ada program khusus sebagai persiapan ke Sukan Komanwel mahupun Sukan Asia, Sang-soon yakin sesi latihan ketika ini masih memadai untuk penembak negara mengekalkan rentak mereka.

"Sekarang ini, senarai atlet belum disahkan. Pada awal Januari tahun depan, nama-nama atlet akan diumumkan.

"Kini, kami hanya membuat latihan biasa bagi semua kejohanan tahun depan," katanya.

Dalam pada itu, Sang-soon berharap penyenaraian atlet pistol, Johnathan Wong, ke dalam Program Podium kendalian Institut Sukan Negara (ISN) dapat menjadi pemangkin buat rakan sepasukan untuk terus meningkatkan prestasi.

Johnathan menjadi wakil tunggal daripada sukan menembak untuk tersenarai dalam program prestasi tinggi itu sekalipun NSAM mencadangkan sembilan atlet kepada ISN.

"Semua (atlet) dalam keadaan baik, cuma nanti kami akan memberi perhatian kepada kepada kekuatan mental," tambahnya.