Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria, menegaskan cadangan untuk memberi pencen kepada 472 Olimpian menerusi pembentangan belanjawan 2021, Jumaat ini patut dipertimbangkan dengan serius.

Pencen untuk Olimpian perlu dipertimbangkan dengan wajar kerana ia hanya membabitkan kumpulan atlet elit negara.

Setakat ini, 485 atlet pernah beraksi dalam Sukan Ilimpik sejak penyertaan sulung Malaysia pada Melbourne 1956.

13 daripada mereka seperti beregu lelaki, Razif-Jalani Sidek, Pandelela Rinong dan Azizulhasni Awang berjaya meraih pingat hingga layak menerima pencen.

Pemenang emas menerima RM5,000, perak RM3,000 sementara gangsa RM2,000.

"Atlet-atlet yang telah berjaya untuk negara harus diambil peduli oleh pihak kerajaan. Selepas mereka bersara dan berkorban untuk negara, pendapatan mereka tidak konsisten dan tiada jaminan bagi masa depan mereka," kata Norza.

"Seperti krisis Covid-19 yang melanda ketika ini, akhirnya mereka tidak dapat menyara diri mereka sendiri dan faedah persaraan ini mampu memastikan mereka menghadapi cabaran yang mendatang."