Pesilat negara, Faizul Nasir, berdepan risiko digugurkan daripada skuad kebangsaan tahun depan apabila 'dikecualikan' ke Kejohanan Pencak Silat Asia Edisi Kelima di Yanji, China, Khamis depan.

Kejohanan itu yang buat julung kali diadakan di China ditetapkan sebagai Indeks Prestasi Utama (KPI) buat pesilat negara tahun ini.

Ia bagi memastikan kedudukan mereka dalam skuad kebangsaan terjamin, sekali gus mereka dituntut menunjukkan prestasi cemerlang dalam kejohanan itu.

Situasi berkenaan mungkin menyebabkan Faizul tidak dapat memenuhi KPI yang ditetapkan setelah disisihkan, apatah lagi dia gagal meraih pingat dalam Sukan SEA Filipina yang berakhir minggu lalu.

"Kami merehatkannya untuk tujuan merawat kecederaannya.

"Ada beberapa kejohanan akan dianjurkan pada tahun depan dan Insya-Allah kalau dia kembali sihat, dia boleh menyertainya," kata pengurus skuad negara, Zaihan Mohd Isa.

Dalam temasya berkenaan, Faizul dimasukkan ke hospital selepas tidak sedarkan diri gara-gara menerima tendangan di muka oleh pesilat tuan rumah, Dines Dumaan.

Skuad silat negara kini membuat persiapan akhir untuk mengharungi cabaran di China itu sebelum dijangka berlepas ke negara berkenaan Isnin ini.

"Saya tidak dapat menyertai Sukan SEA. Jadi, Kejohanan Pencak Silat Asia menjadi KPI saya pada tahun ini sebagai persiapan menghadapi pentas dunia (di Kuching, Sarawak, Jun depan)," kata pesilat Putra Kelas F, Fauzi Khalid, di Bukit Jalil hari ini.

"Saya hanya perlu persembahkan apa yang telah dipelajari dalam latihan selama ini.

"Kami perlu berikan segala yang terdaya, berikan 100 peratus.

"Insya-Allah dengan usaha yang diberikan, kami boleh pulang dengan pingat emas," kata srikandi negara, Siti Rahmah Mohamed Nasir.