Pelumba-pelumba kebangsaan Thailand menguasai saingan Cabaran Mountain Bike Antarabangsa Siol yang berakhir di Kuching, semalam.

Dalam acara Rentas Desa Lelaki Elit sejauh 22.8 kilometer, Keerati Sukprasart mencatat 1 jam 28 minit dan 45 saat untuk muncul juara, diikuti pelumba Indonesia, Fanani Zaenal (Thrill Factory Team Foco Free Bike) di tempat kedua manakala wakil negara, Mohd Fauzan Ahmad Lufty (Giant Racing Team Malaysia) ketiga.

Acara Rentas Desa Wanita Elit sejauh 19 kilometer menyaksikan pelumba Thailand, Supuksorn Nuntana, mendominasi dengan catatan 1'36:06, diikuti
Ariana Thea Patrice Dormitorio (Ariana Team Specialize) di tempat kedua dan
Warinthorn Phetpraphan (Thailand) ketiga.

Muhamad Khairul Aniq Mohamad Ghazali dari Giant Racing Team Malaysia pula mencatat 1'02:46 untuk menguasai acara Rentas Desa Lelaki Junior sejauh 15.2 kilometer.

Tempat kedua dirangkul pelumba Thailand, Kanatip Jinda, manakala tempat ketiga dimenangi pelumba Sabah, Mohd. Faizikry Jumah.

Acara Rentas Desa Wanita sejauh 11.4 kilometer pula diungguli Natalie Panyawan, juga pelumba Thailand, dengan catatan 57:24s.

Pelumba Sabah, Ferenee Moduis, muncul di tempat kedua manakala pelumba Sarawak, Nur Maisarah Marzuki, ketiga.

Shahrin Amir yang mewakili XTS Evanda pula mencatatkan 1'06:16s untuk muncul juara Rentas Desa Lelaki Master, dengan jarak 15.2 kilometer.

Tempat kedua dimenangi pelumba Rapidino Racing Team dari Filipina, Jun Voncent Duron, manakala rakan sepasukannya, Adi Kusnadi dari Indonesia, ketiga.

Dalam kategori Rentas Desa 22.8 kilometer Tertutup Sarawak, pelumba Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) Wan Haikal Wan Zainal, mencatat 1'43:45s untuk muncul juara.

Pelumba Giant Team Kuching, Mohd Adham Mohd Ariff, di tempat kedua manakala pelumba DBKU, Abang Muhammad Azri Abang Marzuki, ketiga.

Dalam acara turun bukit yang berlangsung semalam, kategori Elit Wanita dimenangi pelumba Indonesia, Tiara Andini Prastika, manakala dua pelumba Thailand, Vipavee Deekaballes dan Siriphatson Chatkamnoed di tempat kedua dan ketiga.

Acara Lelaki Elit turut menyaksikan penguasaan skuad negara gajah putih itu, dengan Suebsakun Sukchanya muncul juara, diikuti Tanaphon Jarupeng di tempat kedua. Tempat ketiga dimenangi Eleazar Jr Barba dari Filipina yang mewakili Taokas.

Acara Lelaki Elit pula dikuasai pelumba yang mewakili FTW Racing/ Polygon/ AGS, Muhammad Fadzkee Ariff, manakala tempat kedua dimenangi pelumba Brunei yang mewakili Brunei DH Buddies sementara pelumba Tong Seng Cycle, Adi Kusnadi dari Indonesia, di tempat ketiga.

Seramai 44 pelumba mewakili 10 negara terlibat dalam perlumbaan ini, yang berlangsung sejak Jumaat lalu.

Acara yang ditauliahkan Union Cyliste Internationale (UCI) ini dianjurkan oleh Dewan Bandaraya Kuching Utara dengan tawaran hadiah keseluruhan menjangkau RM78,905.