Pemanah recurve negara, Muhammad Akmal Nur Hasrin, memintas Khairul Anuar Mohamad dalam ranking dunia dan berpeluang mencipta kejutan apabila menyertai sesi latihan pusat bersama juara dunia, Korea Selatan, menjelang Kejohanan Dunia, bulan depan.

Akmal menghuni ranking ke-26 dunia untuk muncul pemanah recurve terbaik negara ketika ini.

Dia mengatasi Khairul Anuar selaku kapten negara di ranking ke-33 dunia menjelang Kejohanan Dunia di Mexico bermula 15 Oktober depan.

Apa yang menarik, Malaysia akan mengadakan sesi latihan bersama gergasi dunia, Korea, di Ansan bermula Sabtu ini untuk Akmal berpeluang menggilap teknik asasnya.

"Saya gembira dengan langkah ini kerana kami mempunyai rakan sepelatih yang hebat.

"Korea merupakan pasukan memanah terhandal di dunia. Mereka telah memenangi Sukan Olimpik dan Kejohanan Dunia.

"Latihan di sana akan memantapkan lagi kami," kata Akmal.

Sesi latihan di Ansan akan turut disertai juara dunia, Kim Woo Jin. Begitupun, juara Sukan Olimpik Rio 2016, Gu Boon Chan, tidak tersenarai ke Mexico.

"Untuk kategori individu double 70 meter, kami mahu sekurang-kurangnya meningkatkan lagi pungutan mata keseluruhan.

"Dalam pusingan kelayakan, kami perlu merebut tempat untuk ke pusingan 16," kata Khairul Anuar.

Seorang lagi pemanah recurve negara, Haziq Kamaruddin, pula menganggap peluang mereka dalam Kejohanan Dunia adalah baik.

"Saya melihat gandingan negara kali ini adalah yang terbaik. Sebelum ini, kami bukanlah tidak bagus, cuma bukan rezeki kami.

"Kali ini, kerjasama sepasukan dan komunikasi pasukan adalah lebih baik," katanya.

Selain skuad recurve, Malaysia akan turut menghantar pemanah compound menyertai Kejohanan Dunia.