Amir Mustafa Rusli tetap mengutamakan skuad Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana Amkins Forca Racing hanya berstatus kelab dan masih belum didaftarkan di bawah Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI).

Penampilan Forca Racing yang turut ditunjangi Sofian Nabil Omar dan Ayman Zarif dalam Jelajah Siak, Indonesia, minggu lalu mengundang persoalan mengenai hala tuju beberapa pelumba.

Amir menegaskan bahawa dia masih mewakli PDRM sejak 2014 sementara Anuar Manan dan Adiq Husainie Othman masih mempunyai kontrak bersama Terengganu Cycling Team (TSG) sehingga 31 Disember ini.

Mereka dijangka mendaftarkan Amkins Forca Racing dalam masa terdekat dengan sasaran untuk menyertai Le Tour de Langkawi (LTdL) 2018.

"Saya perlu memberikan keutamaan kepada PDRM, saya mungkin akan mempertimbangkan tawaran lain juga selepas ini.

"Apapun, kami perlu mengikut prosedur dan bergantung kepada pucuk pimpinan PDRM," katanya.

Sementara itu, kelibat Jupha Somnet mencuri tumpuan dalam sesi latihan bersama PDRM kerana dia masih menunggu arahan daripada Majlis Sukan Negara (MSN) untuk kembali berlatih di Melbourne, Australia.

"Di sini, saya hanya berlatih melainkan di Australia, saya berlatih sambil mengikuti perlumbaan dan dari situ, saya dapat mengukur prestasi," kata Jupha.