Presiden Persatuan Bola Baling Negeri Terengganu (PBBNT), Che Mansor Salleh, berharap Kerajaan Negeri Terengganu mempertimbangkan cadangan pembinaan sebuah dewan bola baling bagi memastikan kecemerlangan sukan itu terus berada di landasan tepat.

“PBBNT telah melakar pelbagai kejayaan, khususnya di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

“Ini dibuktikan dengan kemenangan pingat emas kategori lelaki dalam Sukan Malaysia (Sukma) 2011. Malah, pada edisi 2013, skuad wanita pula menyumbang pingat emas serta pingat gangsa daripada pasukan lelaki.

“Seramai tujuh pemain Terengganu mewakili skuad negara dalam Piala Cabaran Asia IHF di Jakarta, malah dua lagi pemain, iaitu Mohd Nor Hakimi Zawawi dan Mohd Shahrul Edie Mohd Non, juga terpilih beraksi dalam Liga India.

“Kejayaan itu hadir ketika kami tiada tempat latihan atau gelanggang yang sempurna, malah ketika ini kami hanya menjalani latihan di padang-padang sekolah dan dewan Majlis Sukan Negeri (MSN),” ujar Che Mansor lagi.

Bagaimanapun, menurutnya, lokasi latihan berkenaan tidak sesuai kerana pertandingan dan kejohanan yang disertai menggunakan lantai yang keras mengikut piawaian Konfederasi Bola Baling Malaysia (MAHF) dan Konfederasi Bola Baling Antarabangsa (IHF).

“PBBNT berharap pihak kerajaan negeri dapat membina sebuah gelanggang atau dewan untuk pasukan bola baling negeri menjalani latihan dan menganjurkan kejohanan peringkat negeri mahupun kebangsaan.

“Kami telah melengkapkan kertas kerja untuk permohonan itu dan berharap dewan itu dibina di kawasan Kompleks Sukan Gong Badak kerana masih mempunyai kawasan yang sesuai.

“Mengikut anggaran kos yang diambil kira, sebanyak RM500,000 diperlukan untuk menyediakan gelanggang bola baling sahaja.

“Besar harapan kami sekiranya permohonan ini mendapat perhatian kerajaan negeri untuk PBBNT melakar lebih banyak kejayaan yang cemerlang pada masa akan datang,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Kejohanan Bola Baling Kebangsaan 2016 di Gong Badak, semalam.