Kapten pasukan futsal kebangsaan, Mohd Firdaus Razali, berpendapat tiada guna dirinya terus berasa kecewa di atas pembatalan Kejohanan Piala AFF Suzuki 2016, sebaliknya hanya ingin memberikan fokus kepada latihan seperti biasa.

Firdaus berkata pasukan perlu mengekalkan momentum dalam sesi latihan dan tidak boleh terlalu bergantung kepada kejohanan kerana isu pembatalan sedemikian boleh berlaku pada bila-bila masa.

"Kemungkinan hujung minggu ini latihan kem akan tamat. Jadi, kalau mahu memastikan momentum dapat dikekalkan, liga perlu berjalan dengan cepat.

"Apabila liga sudah bermula, pemain-pemain pastinya akan dapat mengekalkan tahap kecergasan kerana mereka akan berterusan bermain.

"Jika tidak ada, ia akan menjadi masalah juga kerana perlu bermula semula dan situasi tersebut akan menyebabkan kami membuang banyak masa," katanya.

Firdaus selaku pemain senior menyifatkan keserasian bersama beberapa pemain muda yang digandingkan oleh jurulatih, Chiew Chun Yong, semakin baik, namun masih belum cukup diiuji dan berharap aksi persahabatan antarabangsa dapat diadakan secepat mungkin.

"Alhamdulillah, kami bermula dari kosong, menerapkan semua ilmu yang jurulatih telah turunkan.

"Jadi, dalam masa sebulan lebih, boleh lihat peningkatan dalam pasukan. Cuma kami tidak dapat bersaing dengan pasukan yang betul-betul boleh menguji kekuatan sebenar kami.

"Kami mempunyai perlawanan persahabatan dengan pasukan tempatan tetapi ia tidak mencukupi untuk kami."

Thailand terpaksa menarik diri daripada menganjurkan Kejohanan Futsal Piala AFF 2016 yang sepatutnya berlangsung bulan depan sebagai tanda menghormati kemangkatan Raja Bhumibol Adulyadej, 13 Oktober lalu.

Tanggungjawab itu kemudiannya diberikan kepada Indonesia dan Singapura sebelum kedua-dua negara tersebut menolak dengan alasan tersendiri.

Pada Jumaat lalu, Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) mengumumkan kejohanan berkenaan terpaksa dibatalkan.