Persembahan cemerlang dua atlet ping pong para negara, Ahmad Syahir Mohd Kamal Saupi dan Gloria Gracia Wong Sze membantu kontinjen negeri masing-masing meraih pingat emas pertama dalam Para Sukan Malaysia (Sukma) 2018 di Perak, hari ini.

Hari pertama saingan ping pong menyaksikan tiga acara final dipertandingkan di Stadium Tertutup Indera Mulia.

Syahir yang mewakili kontinjen tuan rumah turun berdepan rakan sepasukan, Hong Chin Sing, bagi penentuan emas kategori berdiri perseorangan lelaki kelas terbuka.

Pertarungan sengit dijelmakan oleh kedua-dua pemain itu dengan permainan berlanjutan ke set penentuan.

Namun, Syahir lebih unggul apabila mencatat kemenangan 11-7 dalam set berkenaan, sekali gus menyaksikan emas menjadi miliknya dan menebus kehampaan dua tahun lalu di Sarawak apabila meraih tiga perak.

"Saya bersyukur apabila dapat menyumbang emas pertama. Aksi tadi memang sukar.

"Saya mengambil masa hampir sebulan untuk persiapan menghadapi Sukma. Saingan memang banyak," ujar Syahir.

Kategori berdiri perseorangan wanita kelas terbuka menyaksikan Gloria tidak berdepan kesukaran untuk menewaskan atlet Terengganu, Siti Nor Athirah Mohd Anuar.

Dia yang beraksi dalam saingan Para Sukma pertamanya mempamer persembahan yang cukup bertenaga dan hasilnya kemenangan straight set dilakar untuk memberikan emas pertama kepada kontinjen Sarawak.

Satu lagi aksi penentuan emas kategori kerusi roda perseorangan lelaki kelas terbuka menyaksikan atlet para Selangor, Muhammad Faiz Fazmi Amir Hamzah, menewaskan Muhammad Lizan Mat Sitim dari Sabah.

Walaupun tewas 11-6 dalam set pertama, Faiz bangkit penuh dramatik selepas itu dengan memperoleh kemenangan dalam tiga set berturut-turut untuk mengesahkan emas buat Selangor.

"Sebenarnya, dua tahun lalu, saya terlalu muda untuk bersaing dalam acara ini. Sejak dapat menyertai skuad kebangsaan, saya melibatkan diri.

"Banyak perkara perlu dikorbankan. Saya berlatih sepenuh masa dan hanya ke sekolah sekitar sejam sehari," kata Gloria.