Atlet memanah recurve para Kedah, S. Suresh, mempamerkan kebangkitan untuk mempertahankan pingat emas acara individu lelaki selain kegembiraan buat kontinjen tuan rumah apabila K. Morogen meraih emas saingan compound individu lelaki dalam Para Sukma Perak 2018, hari ini.

Saingan hari pertama menyaksikan empat acara final individu menjadi tumpuan dengan dua daripadanya adalah acara recurve terbuka lelaki dan wanita selain acara compund terbuka lelaki dan wanita.

Acara recurve terbuka lelaki menyaksikan persaingan sengit di antara dua atlet Kedah, S. Suresh dan T. Suresh.

S. Suresh yang bermula sedikit perlahan, bagaimanapun, bangkit mengejar mata untuk meraih pingat emas dalam penentuan "shoot-out".

Dalam acara recurve terbuka wanita pula, atlet Selangor, Shazleen Eineesya Saiful Azmi, menewaskan atlet tuan rumah, Norsyafiqah Abdul Hamid, 6-2.

Morogen menepati ramalan selaku atlet pilihan selepas membutirkan pingat emas buat Perak dalam acara compound terbuka lelaki selepas menewaskan Ramdi Rahimin dari Sabah 126-123.

Kejutan berlaku dalam acara compund terbuka wanita apabila muka baru dari Sabah, Lidwina Isidore Andilah, menundukkan atlet berpengalaman Perak, Norsa'adah Abdul Wahab, 118-109.